Saturday

-:: Promo ::-: Ciung Winara Singapura

-:: Promo ::-: Ciung Winara Singapura: "Ciung Winara adalah anak kelima dalam seramai sembilan adik-beradik. Beliau dilahirkan di kampung Chestnut Avenue batu 9 Bukit Timah Road. ..."

SERAMBI SASTERA PENYAIR CIUNG WINARA SINGAPURA

Tuesday

PENYAIR JAKABUDI




Penantian kini menjadi kenyataan.

Penyair JakaBudi akan melancarkan buku kumpulan puisi pertama beliau pada hari

sabtu 2 Ogos 08, jam 3 petang hingga 6 petang bertempat di blk 1 Dover Road CC .

Para tetamu jemputan telah pun dikhabarkan melalui e-mel dan di Warna 94.2FM Radio

MediaCorp juga telah pun di warwarkan oleh Dj Zan Sofian.

Di majlis itu nanti akan dimuatkan dengan acara diklamasi puisi dan juga nyanyian

puisi oleh para penyair tahan air.

Semoga majlis pelancaran berjalan dengan lancarnya dalam suasana penuh muhibah,

insya Allah.

Nota: Semua dipersilakan hadir.



Sekian.
Wassalam


Daripada hamba teman:
Ciung Winara Singapura.
Penulis/Penyair.


*************************************************************************************Jadikan kegagalan pertama sebagai satu ujian. Namun demikian usahlah berputus asa daripada rahmat-Nya. Usaha itu tangga kejayaan bagi yang benar-benar bertekad dan punyai wawasan dalam kehidupan.

Monday

CAHAYA

Bagaimana malam tetap selamanya
Buat kita sampai kiamat
Siapakah Tuhan selain dari-Nya
Yang sanggup memberikan cahaya

Bagaimana siang tetap selamanya
Buat kita sampai kiamat
Siapakah Tuhan selain dari-Nya
Yang sanggup mendatangkan malam

Dijadikannya malam dan siang
Supaya kita dapat bersenang
Supaya kita dapat mencari kurnia-Nya
Mudah-mudahan kita bersyukur
Supaya kita dapat mencari kurnia-Nya
Mudah-mudahan kita bersyukur

Carilah dengan apa diberikan
Jangan lupakan bahagian akhirat
Pujian itu kepunyaan-Nya
Pada permulaan dan kesudahan
Pada permulaan dan kesudahan
Pada permulaan dan kesudahan.

Ciung Winara
Singapura

Nota: Puisi ini telahpun dijadikan lagu dan di muatkan ke dalam Album sulung band WINARA yang bakal di edarkan insyaAllah namun belum diberikan tarikh pelancarannya.

**********************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

CITA-CITA

Cita-cita
kau menjadi
pengubah hidup
membuat manusia
untuk bercita-cita

Namamu
sungguh indah
dan agung
menusuk kalbu
setiap insan

Kau
pemasti kejayaan
dan kebahagiaan
untuk manusia
yang inginkan
penyesuaian

Aku
bercita-cita
dengan penuh
semangat dan azam
kerana
aku telah menjadi
kenyataannya

Kau
kejayaan bagiku
pelita
cahaya
masa hadapanku.

Ciung Winara
Singapura

***********************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

CURANG

Apalah ertinya jalinan kasih
jika di hati tiada kebersihan
menghirup segala noda
berbunga di dada
terdedah segala arah
ke neraka

Di mana-mana langkah curang
berlari nafas gelisah memaksa
rela menjalani kedukaan
sehingga ada yang terpaksa
menggamit perasaan
berendamkan airmata

Ada apa pada kemesraan
jika tiada kejujuran
andai tiada kesetiaan
hanya bersalut kepuraan
tercabut segala
kasih dan kasihan

Beginilah hakikat hidup
citranya manusia
budi dan noda saling bertarungan
di pentas maya penuh kepalsuan
kesucian cinta sering tiada harga
pengorbanan tersia begitu sahaja.

Ciung Winara
Singapura

*************************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

CINTA PERDAMAIAN

Dalam perjalanan
kembali kita mencari
jejak tanda yang tersua
pada diri dan peribadi
di mana perdamaian
persaudaraan
menjadi lambang abadi

Terbuhul
dalam semangat baru
senyum dan tangis kita
adalah kata hati
antara kehormatan
dan keyakinan teguh
biar di wajah dan di hati
cinta berbunga
rasa muhibah
hidup sejahtera

Kita
tidak ingin melihat
bumi dan langit rentak
kisah lara
kisah bara
terbakar liar
di api abdi

Di bumi hangus
di laut terakar
yang menyayat
yang menyiat.

Ciung Winara
Singapura

**********************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

BUKAN MAKSUDKU MENGEMIS SIMPATI

Bukan maksudku
untuk mengemis simpati
apa lagi untuk kau kembali
mengisi hidupku
tetapi
setiap detik aku termenung
dalam kamar sepiku
segala bayangan masa silam
bermain di kotak ingatan

Meskipun
kenangan itu
telah berabad lamanya
namun
ia tetap wujud dan bertandang
menjemput aku
untuk menyingkap kembali
sejarah lalu
yang penuh dengan irama
suka dan duka
mengenal bahagia dan derita
bersamamu.

Ciung Winara
Singapura

************************************
Hak Pengarang terpelihara(C)ciungwinara@2008

BAWA DAKU KE SANA

Bilakah
bulan bintang
tiada kelam

Di mana suria
tiada dilindungi
awan muram

Di manakah
ada manusia jujur
tiada berdusta

mendendangkan
lagu damai
tiada bersengketa

Pimpinlah daku
ke sama bersama;
sudah penat daku
menunggu lama.

Ciung Winara
Singapura

*************************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

BAHTERA KARAM DI LAUTAN API

Sudah terlalu lama
aku menghitung hari-hari berlalu
namun aku masih belum pasti
adakah kebahagiaan
dapat kutemui kembali
dalam arus
kehidupan yang mencabar ini.

Sememangnya
aku sentiasa berharap
untuk membina
kehidupan yang kukuh
namun apakan daya
bahteraku karam di lautan api.

Aku tewas dalam kehidupan
seolah tiada mampu menghadapi
kehidupan yang terlalu perit ini
beginilah nasib diriku
hati sering menangis pilu
kupendamkan sahaja rintihan itu.

Aku tidak dapat menahan takdir
walau pedih ataupun manis
kuterima dengan tabah
dengan reda
meskipun diundang derita
hadirnya tanpa rela
dan aku perlu akur
akan kehendak-Nya.

Ciung Winara
SPEKTRA
Berita Minggu
Singapura
23 Mac 2008

************************************

BULAN MUDA

Terasa benar usia berubah
Tatkala terpandang sebutir bintang
Terapung di langit malam
Dalam pelukan bulan muda
Ah ...
Pedulikan bulan dan bintang
Dengan lakonan asyiknya
Esok apabila bulan bertukar tua
Bintang akan beredar jua
Meninggalkan bulan usang
Termangu mengenang
Masa muda tidak abadi
Menyelungsur landasan azali
mengikut kehendaknya.

Ciung Winara
PERSADA SASTERA
Berita Minggu
Singapura
18 September 2005
(14 Syaaban 1426)

**********************************
Hak Pengarang terpelihara(C)ciungwinara@2008

BERBAGI SAMA

Masa demi masa

kita berbagi sama

dari segala segi

kehidupan dan perasaan.


Ciung Winara
Singapura.

**********************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

ATAS NAMA KEANGKUHAN

Kau datang tanpa restu
hadir tanpa salam
pergi tanpa pamitan
segalanya atas nama keangkuhan
segalanya atas kehendak naluri
tiada ketenangan di kaki senja
kukh meniti usia
masih lagi mengira waktu lalu
yang menebarkan segala keegoan

Mencorak kehidupan angkuh
tanpa batasan terus melangkah
garis-garis usia zaman
tanpa menjana kemurnian hati budi
sombong dan lupa diri
atas nama keangkuhan
yang menyatukan keegoan
meredah angkasa luas
bebas dan merdeka
ke arah salah strateji.

Ciung Winara
Singapura

***********************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

APAKAH JENISNYA MANUSIA KITA INI

Ke manakah
langkah ini harus dibawa
pada perjalanan yang terentang
tanpa senyuman
tanpa ketawa
tanpa seribu kata-kata
tanpa penawar jiwa

Apakah jenisnya manusia kita ini
hati yang gersang
gering tiada bernyawa
setiap langkah demi langkah
antara cabaran kehidupan
di panggung pentas maya
dalam bentuk rintangan berliku-liku
di bumi samudera cabaran hidup

Apakah jenisnya manusia kita ini
lapar dalam keresahan
suarahati melolong menjerit
kerana fikiran terlalu kcau
dalam jiwa tiada beriman
bergolak warna kehidupan

Ke mana tujuan
dalam cabaran liku-liku kehidupan
tiada terhenti penyakit dunia menyiksa diri
lupa amal, ibadat terpinggir
runtuhnya diri hilang panduan
tiada mengenal hari
dan waktu berputar.


Ciung Winara
Singapura


************************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

ANGIN MALAM

.....yang dihirup
hanyalah
baki sisa jalang
di malam panjang
memberi dan menerima
untuk hidup yang meminta,
menghirup segala noda
menghimpun segala keji
berbunga di dada
terdedah segala arah
ke neraka.


Ciung Winara
Singapura.

************************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

AIRMATA SELAUT SYUKUR

Aku
masih ada airmata
mengalir selaut syukur

KepadaMU Ya Allah
meskipun bersedih
aku masih mengingatiMu
menyebut namaMu

Aku
masih ada amalan
duniawi dan akhirat
aku masih ada ibadat
masih ada Ayat-Ayat Suci
Al-Quran menjadi panduan

Aku
masih ada takwa dan iman
masih ada daya
bergerak dengan urat dan darah
dalam kesedaran diri
masih ada keinsafan batin hati nurani

Aku
masih ada suara ibu
meskipun tanpa ayah
aku masih ada wajah keluarga tercinta
aku masih ada teman bicara
meskipun aku bersedih
dalam keperitan kehidupan
diri teruji bersama mentari dan rembulan
silih berganti.


Ciung Winara
Singapura

************************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

CAHAYA KEHIDUPAN

Di dalam kehidupan
keindahan akan terpancar
bila hati mempunyai ketenangan
kedamaian dan ketulusan

Kita
mampu mengatasi
segala-galanya dengan tabah
demi kehidupan yang penuh
pancaroba

Tiada
keresahan dan kekecewaan
seandainya
ketenteraman bertahta di kalbu

Maka
segala-galanya
akan kelihatan indah
meskipun
sesuatu melanda
bak gelombang bergelora.


Ciung Winara
Singapura.


****************************
Hak Pengarang Terpelihara(C)ciungwinara@2008

SALAM SASTERA

Assalamualaikum wr wb, buat semua saudara-mara dan teman-teman budiman. Salam sastera daripada saya. Salam kuhulurkan tanda ukhuwah aemoga ikatan persaudaraan erkekalan selamanya dari dunia di akhirat pun begitu.

Kubuka lelaman ini bukan kerana mengejar glamor tetapi adanya ku di sini demi dunia persuratan.

Anugerah Allah Swt. yang dikurniakan tidakku persia-siakan. Ini kerana adala daripada hasratku sejak dibangku sekolah rendah. Daku bercita-cita ingin menjadi seorang penulis, pemuzik dan juga pengubah lagu suatu hari kelak. Alhamdulillah...syukran jazillan Ya Allah,Engkau telah mengurniakan niat dan hasratku.

Di serambi Sastera ini kupautkan kumpulan puisi daya karya ilhamku sebagai wadah renungan bersama buat diriku, saudara-mara, teman-teman dan para pengunjung dunia maya.

Kepada yang sudi menghayati karya-karyaku di blog ini dengan setinggi-tinggi jutaan terima kasih kuucapkan.

Wassalam.

Salam Sastera
Hamba teman,
Ciung Winara
Singapura.



************************************
Hak Pengarang Terpelihara (C)ciungwinara@2008